Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
 
Last Update: 26 Nov 2020
Version 8.0.4b
Pertandingan Video Promosi Cukai Taksiran tawar hadiah RM14,400
Posted on : 05 Nov 2020  Source of News: Utusan Borneo
 

MARI SERTAI: Yii (enam kiri) bersama ahli-ahli majlis yang lain menunjukkan poster pertandingan semasa majlis pelancaran semalam.

MIRI: Jika anda mempunyai bakat dan suka membuat video pendek menggunakan apa jua aplikasi, anda dialu-alukan mengambil bahagian dalam Pertandingan Video Promosi Cukai Taksiran yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM14,400.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu bertujuan mempromosikan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk memainkan peranan membayar cukai taksiran atau cukai pintu.

Menurut Datuk Bandar Adam Yii, pertandingan itu yang bermula semalam akan berakhir pada 23 November ini dan dibuka kepada semua warganegara Malaysia tanpa mengira umur secara percuma.

“Pertandingan ini bertemakan ‘Jom Bayar Cukai Pintu’ dan video berdurasi tidak lebih lima minit dengan mengguna pakai format sama ada MPEG4, 3GPP, MOV atau AVI.

“Video yang anda pertandingkan juga hendaklah beresolusi penuh HD, bermakna ia perlu jelas di skrin komputer dengan audio yang jelas.

“Penceritaan bagi setiap video anda adalah digalakkan,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran pertandingan itu di bilik mesyuarat MBM di sini, semalam.

Video bebas dibuat dalam bahasa yang digunakan secara meluas di Sarawak, namun perlu diperjelaskan sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris dalam judulnya di nota kaki.  

Peserta yang layak boleh menghantar lebih daripada satu penyertaan namun hanya satu yang boleh memenangi pertandingan, jika yang terpilih lebih daripada satu.

Menurut Yii, peserta bebas memuatkan aspek jenaka, inspirasi, atau yang menyentuh perasaan namun sejajar dengan tema ‘Jom Bayar Cukai Pintu’.

“Video yang dipaparkan juga mesti memaparkan sekurang-kurangnya satu tempat menarik di Miri dalam mana-mana bahagian video berkenaan,” katanya.

Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM5,000, tempat kedua RM4,000 dan ketiga RM3,000 manakala tiga hadiah sagu hati masing-masing RM800.

Semua pemenang juga akan menerima sijil.

Maklumat lanjut berhubung pertandingan itu boleh didapati dalam borang penyertaan yang disediakan di pejabat MBM di sini dan penyertaan yang lengkap boleh dihantar berserta video masing-masing dalam pemacu pena dikembalikan kepada Pegawai Penilaian Bandaraya, Jabatan Penilaian dan Taksiran, Majlis Bandaraya Miri, Jalan Raja, 98000 Miri selewat-lewatnya jam 5 petang, 23 November.

|