Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
 
Last Update: 28 Oct 2020
Version 8.0.4b
Kreativiti dan inovasi ubah sampah jadi wang: Dr Sim
Posted on : 14 Oct 2020  Source of News: Utusan Borneo
 


KREATIF: Dr Sim bersama tetamu kenamaan lain mendengar taklimat Pegawai Local Agenda 21 Siti Nurbaya pada pameran Innowaste di Miri, semalam.

MIRI: Pengurusan sisa buangan secara holistik mampu menjana pendapatan kepada komuniti jika mereka kreatif dan inovatif dalam mengitar semula.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata berdasarkan kajian Pengurusan Sisa Bersepadu Sarawak, hanya 10.6 peratus barang buangan dihantar untuk dikitar semula berbanding 89.4 peratus.

“Kita perlu kreatif dan inovatif dalam membangunkan produk baharu dalam pengurusan sisa buangan sekali gus menjadikannya satu pendapatan,” katanya pada Majlis Sambutan Minggu Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak dan Pameran Innowaste semalam.

Dr Sim berkata pengurusan sisa buangan di Sarawak amat membebankan serta menelan kos yang amat tinggi.

“Kita harus meneroka idea-idea baharu untuk mengurus barangan buangan menerusi aktiviti dan projek Innowaste serta mencontohi Jerman dan Jepun dalam membudayakan amalan kitar semula,” jelasnya.

Dr Sim menarik perhatian bahawa pameran Innowaste yang diadakan itu adalah bagi mendedahkan pengetahuan mengitar semula barangan terbuang.

Malahan tambah beliau, produk yang terhasil daripada barangan terbuang juga mampu memberikan idea kreatif dalam penghasilan produk lain.

Terdahulu dalam ucapannya, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Antonio Kahti Galis berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) digalak memperbanyakkan program kepentingan kitar semula.

“Idea kreatiif dalam mengitar semula barangan terbuang adalah satu tindakan bijak dalam menangani pencemaran alam sekitar,” jelasnya.

Tambahnya, penglibatan masyarakat dalam kitar semula  amat penting supaya masyarakat dapat membantu PBT dalam menangani masalah pembuangan sampah tidak terkawal seperti masalah pencemaran sungai, longkang tersumbat, masalah pembiakan nyamuk dan sebagainya.

Sementara itu, Majlis Daerah Marudi muncul juara keseluruhan Pameran Innowaste sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000.

Sementara itu Majlis Daerah Subis pula mendapat tempat kedua menerima RM800 sementara Majlis Bandaraya Miri di tempat ketiga menerima RM500.

Sembilan PBT telah menyertai pameran terbabit dengan empat Kumpulan Inovasi dan Kreaktif (KIK) PBT turut serta.

Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Setiausaha Persekutuan Datuk Mohd Shahabudin Omar serta tetamu kenamaan lain.

|