Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
 
Last Update: 21 Sep 2020
Version 8.0.4b
MBM perkenal polisi baharu bagi pengumpulan minyak masak terpakai
Posted on : 03 Aug 2020  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Dalam usaha menjadikan persekitaran dan kesihatan masyarakat setempat sebagai keutamaan, Majlis Bandaraya Miri (MBM) memperkenalkan polisi baharu bagi mendaftarkan pengumpul minyak masak terpakai yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

DatukBandarMBMAdam Yii berkata, polisi baharu berkenaan membolehkan mereka yang diberi kuasa untuk mengumpul minyak masak terpakai dari semua restoran di bawah bidang kuasa MBM.

“Menerusi polisi baharu ini juga, ia menjadi sebahagian syarat perlesenan restoran di bawah MBM di mana kesemua restoran berkenaan perlu melupuskan minyak masak terpakai melalui pengumpul minyak masak terpakai yang berdaftar terbabit,” jelasnya dalam kenyataan media semalam.

Menurut Yii, tujuan polisi berkenaan bagi memastikan minyak masak terpakai dari restoran tidak diproses dan digunakan semula untuk melindungi kesihatan penduduk di sini.

Inisiatif itu kata Yii, dilaksanakan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Komuniti dan Alam Sekitar MBM sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka terhadap kesihatan masyarakat dan juga Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB).

Jelas Yii, manfaat tambahan daripada polisi berkenaan ialah bagi mengurangkan jumlah minyak masak terpakai yang dibuang ke dalam sistem saliran pembetungan yang akan menyebabkan sistem saluran tersebut tersumbat.

“Selain itu, ia juga bagi mengurangkan bau busuk dari saluran sistem pembentungan tersebut,” ujarnya.

Kata Yii, mereka yang berminat boleh menghubungi Seksyen Kesihatan Awam MBM bagi mendapatkan salinan kriteria sebagai sebagai pengumpul minyak masak terpakai yang berdaftar.

Tiada caj atau bayaran dikenakan untuk mendaftar dan mereka yang berdaftar tersebut akan diaudit dan dipantau secara berkala bagi memastikan mereka mematuhi syarat perlesenan dan prosedur operasi standard (SOP).

Harga jualan minyak masak terpakai harus ditentukan di antara restoran dan pengumpul minyak masak terpakai berdaftar terbabit.

|