Theme: Blue and Green Theme: Blue and Green Theme: Red Theme: Green
 
Last Update: 26 Feb 2020
Version 8.0.4b
MBM sedia beri kerjasama dalam promosi pelancongan
Posted on : 23 Jan 2020
 

KERJASAMA: Yii (duduk, tengah), Chu (duduk, kanan) serta pegawai kumpulan syarikat tersebut dan pengendali pelancongan tempatan hadir pada sesi taklimat APAX Group di MBM kelmarin.

MIRI: Datuk Bandar Miri Adam Yii mengalu-alukan usaha mana-mana pihak yang sedia membantu atau bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk mempromosikan industri pelancongan di sini.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Miri (MBM) sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat menerokai produk-produk pelancongan di sini dan mempromosikannya, khususnya yang melibatkan acara sukan yang dapat menarik pengunjung datang ke sini.

Adam berkata, MBM juga akan memberi sokongan penuh kepada mereka yang ingin meneroka dan mengembangkan lagi produk pelancongan di Miri khususnya berkaitan produk pelancongan berasaskan budaya, pengembaraan dan alam sekitar (CAN).

“Bagi pihak MBM, kami mengalu-alukan usaha mempromosikan lagi Miri menjadi sebuah bandar raya peranginan yang sungguh menarik.

“Kita bersedia bekerjasama jika usaha tersebut dapat membantu membangunkan industri pelancongan,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat sekumpulan penganjur acara, APAX Group dari Zhejiang, China di MBM kelmarin.

Kunjungan kumpulan itu diketuai pengasasnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terence Chu.

Yii memberitahu kumpulan itu bahawa Miri memang mempunyai pelbagai tarikan semula jadi yang menunggu untuk diterokai dan dipromosikan dan usaha masih berterusan untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan terus antarabangsa ke bandar raya itu bagi melonjakkan kemudahan pelancongan di sini.

“Kami berharap pada tahun ini mungkin ada sesuatu yang dapat menghubungkan bandar raya ini dengan dunia luar.

“Bagaimanapun, masih terdapat satu lagi pilihan untuk menarik lebih banyak pelancong ke bandar raya ini iaitu melalui Royal Brunei Airlines (syarikat penerbangan negara Brunei).”

Pada masa yang sama, beliau juga mahu kumpulan itu bertemu dengan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting bagi membincangkan dengan lebih lanjut usaha mereka dalam membantu mempromosikan pelancongan di sini.

“Datuk Sebastian Ting adalah orang yang tepat untuk berbicara mengenai perkara ini dan memberi nasihat serta pandangan berhubung aspek pelancongan.

“Saya pasti dia tahu apa yang terbaik untuk bandar raya Miri,” tambah Yii.

Sementara itu, Chu yang juga pengerusi Discovery Adventures Park berkata, kumpulan itu sangat berminat untuk membangunkan produk pelancongan di bandar itu.

“Kami akan melihat bagaimana cara yang menarik untuk mempromosikan Miri terutama dari segi budaya.

“Inilah cara kami dapat bekerjasama pada masa depan, untuk mempromosikan bandar raya ini ke dunia luar,” jelasnya.

|