Last Update: 19 Dec 2018
Version 8.0.4b
Miri model MDB bangun industri pelancongan
Posted on : 21 Aug 2018  Source of News: Utusan Borneo
 
 (Duduk, dari kiri) Kaunselor Ernest Goh, Setiausaha MBM Morshidi Frederick, Adam Yii, Anielia dan Setiausaha MDB Simon Wong bersama rombongan dan kaunselor MBM. TIMBA ILMU: (Duduk, dari kiri) Kaunselor Ernest Goh, Setiausaha MBM Morshidi Frederick, Adam Yii, Anielia dan Setiausaha MDB Simon Wong bersama rombongan dan kaunselor MBM.

MIRI: Bandar raya Miri menjadi model kepada Majlis Daerah Bau (MDB) untuk membangunkan industri pelancongannya.

Pengerusi MDB Anielia Siam berkata, Miri dan Bau memiliki banyak persamaan daripada aspek pelancongan yang boleh dicontohi dan dimanfaatkan MDB.

“Tujuan kami ke Miri adalah untuk menambah baik sistem tadbir urus MDB dan semoga suatu hari nanti, kami dapat menambah baik daripada majlis daerah kecil kepada majlis bandar raya dengan sokongan semua pihak,” jelasnya.

Perkara tersebut dijelaskan semasa kunjungan hormat rombongan MDB ke Majlis Bandaraya Miri (MBM) semalam.  

Tetamu terdiri daripada 20 ahli Jawatankuasa Pelancongan dan Jawatankuasa Kesihatan Awam.

Anielia berkata, MBM merupakan agensi pertama dalam rangka lawatan dan aktiviti dirancang sempena sambutan ulang tahun ke-60 MDB.

Pelbagai pelan termasuk kajian dirancang dan dijalankan untuk pembangunan Bau dan penambahbaikan MDB.

Beliau berharap projek muzium galeri emas berkonsepkan taman yang dalam fasa pertama pembangunannya sekarang akan menambah tarikan Bau apabila siap kelak.

Selain itu, kerja membaik pulih tapak-tapak bersejarah juga dipergiatkan.

“Kami menggunakan kelebihan Bau yang dikenali ramai sebagai Gold Town (Pekan Emas).

“Muzium akan memiliki galeri untuk membolehkan pengunjung menghayati aktiviti perlombongan emas yang suatu ketika dahulu sangat gemilang di Bau,” katanya lanjut.

Menurut Aneilia, aktiviti perlombongan di Bau bermula pada kurun ke-18 oleh pelombong Cina dari Sambas, Indonesia.

Perlombongan pada zaman Brooke pula bermula pada 1840 yang menumpukan kepada perlombongan emas.

“Sehingga kini ada konsesi lombong yang masih aktif di Bau, namun sebahagian lagi kurang aktif.

“Artifak di Bau dikenal pasti sebagai tapak bersejarah oleh Jabatan Muzium Sarawak dan UNESCO,” jelasnya.

Aneilia berkata, industri pelancongan antara cara mempelbagaikan sumber ekonomi Bau yang sekarang pembangunan setempatnya tertumpu kepada pertanian.

Selain muzium, MDB turut merancang membina pusat kraf tangan sebagai pusat jualan hasil kraf tangan di Bau dengan Pusat Khazanah Miri yang baharu di pusat bandar raya akan dijadikan rujukan.

Beliau berharap dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo dan projek dua jambatan baharu akan menambah kunjungan pelancong ke Bau yang kini menerima kunjungan penduduk Lundu dan Padawan.

Bau turut menjana sumber pendapatan negeri daripada aktiviti kuari.

Bau memiliki 11 kuari yang aktif mengeluarkan batu untuk pembinaan.

Bau adalah kawasan seluas 884 kilometer persegi dengan jumlah populasi 64,000 orang.

Terdahulu, Datuk Bandar Miri Adam Yii menjelaskan tentang keunikan Miri sebagai destinasi pelancongan utama di utara Sarawak.

Popular dengan Taman Negara Gua Mulu dan Gua Niah, Miri yang didiami 28 etnik menambah tarikannya kepada pelancong dengan status baharu sebagai pusat sukan menyelam dan sukan memancing laut dalam.

Dengan keluasan 5,200 kilometer persegi di bawah bidang kuasa MBM, Miri memiliki populasi 350,000 orang.

Dengan lokasi indah di sepanjang pantai, Miri meraikan Hari Bandar Raya Ke-13 sejak dinaik taraf sebagai bandar raya pada 2005.

|