Last Update: 24 Sep 2018
Version 8.0.4b
Miri lokasi pelancaran MALA
Posted on : 09 Jul 2018  Source of News: Utusan Borneo
 
 Adam (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Yew disaksikan oleh Sim (empat kiri) dan tetamu lain pada majlis perasmian MALA di Miri malam kelmarin. TERIMALAH: Adam (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Yew disaksikan oleh Sim (empat kiri) dan tetamu lain pada majlis perasmian MALA di Miri malam kelmarin.

MIRI: Bandar raya Miri dipilih sebagai pusat pelancaran kejohanan sukan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia (MALA) yang disempurnakan pelancarannya oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian di sini malam kelmarin.

Untuk Miri, sebanyak 29 kontinjen terlibat dalam perlawanan boling yang diadakan bermula kelmarin.

Dalam ucapannya, Dr Sim berkata ini kali pertama Sarawak terpilih sebagai lokasi pertama MALA yang bergerak ke beberapa negeri sehingga berakhir pada Disember nanti.

“Kerja berpasukan yang ditunjukkan telah menjadikan kejohanan sukan tahun ini mencapai kejayaan besar untuk semua.

“Ini terbukti kerja berpasukan mengajar kita bagaimana bersaing antara satu sama lain dan bersama mencapai matlamat,” katanya.

Beliau berharap mencapai matlamat sasaran terutamanya membina kerjasama kalangan PBT, mewujudkan hubungan lebih kukuh dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan.

Dr Sim mahu semua PBT sentiasa menitikberatkan integriti dan tanggungjawab dalam dan luar pejabat.

“Sikap ini harus diberi penekanan dan perhatian penuh kerana ia bukan hanya memberi manfaat kepada individu tetapi keseluruhan organisasi,” jelasnya.

Terdahulu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii berkata untuk Sarawak, sukan boling dan Bengkel Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) diadakan di Miri pada 6 dan 7 Julai ini.

Beliau memberitahu, aktiviti tersebut memupuk kerjasama dan pemahaman lebih kuat kalangan PBT seluruh Malaysia serta saling membantu antara satu sama lain dalam bidang berkaitan.

Selepas Miri, pertandingan karom dan pingpong diadakan pada 8 dan 9 September di Johor (Majlis Perbandaran Pasir Gudang), bola sepak 9 sebelah dan bola jaring pada 5 hingga 7 Oktober di Perak (Majlis Bandaraya Ipoh) dan (Majlis Perbandaran Mahjung), badminton pada 15 dan 16 November di Kelantan dianjurkan Majlis Perbandaran Kota Bharu.

Sementara pertandingan dart, sepak takraw dan golf diadakan pada 30 November hingga 2 Disember di Negeri Sembilan anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson.

Majlis pelancaran diserikan dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian.

Hadir sama Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon dan Presiden MALA yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Yew Tung Seang.

|