Last Update: 18 Nov 2018
Version 8.0.4b
MBM perlu sokongan dana daripada kerajaan pusat
Posted on : 09 Jul 2018  Source of News: Utusan Borneo
 
 (Dari tiga kiri) Adam dan Dr Teo bergambar bersama ahli PKR Miri dan kaunselor selepas sesi dialog di MBM semalam. TANGANI ISU: (Dari tiga kiri) Adam dan Dr Teo bergambar bersama ahli PKR Miri dan kaunselor selepas sesi dialog di MBM semalam.

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) memerlukan sokongan dana daripada kerajaan pusat untuk menaik taraf kemudahan dan mendapat projek pembangunan baharu untuk Miri.

Datuk Bandar MBM Adam Yii berkata, kerjasama Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo diperlukan untuk menyuarakan keperluan Miri dan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kami (MBM) memerlukan dana dan ini termasuk dana daripada kerajaan pusat.

“Kami berharap untuk bekerjasama dengan YB (Dr Teo) untuk membantu mendapatkan dana daripada kerajaan pusat untuk kami menaik taraf kemudahan dan perkhidmatan kami,” jelas beliau.

Kerjasama termasuk mendapatkan dana untuk projek menaik taraf bulatan GK bertujuan mengatasi masalah kesesakan di laluan tersebut.

Adam berkata, dana untuk projek tersebut telah diluluskan kerajaan pusat (Barisan Nasional) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi ditunda selepas kepimpinan kerajaan baharu dipegang PH.

“Kami telah memberitahu YB perkara ini dan berharap YB akan membuat susulan membantu Miri mendapatkan dana agar masalah kesesakan di bulatan GK dapat diselesaikan,” katanya.

Mengenai kesesakan di kawasan sekolah pada pagi dan tengah hari, Dr Teo mencadangkan agar pertemuan dilakukan antara MBM dan pihak pengurusan sekolah.

Adam berkata, masalah tersebut sehingga kini tiada penyelesaian disebabkan sikap ibu bapa sendiri.

“Kami akan lihat hasil perbincangan kami dengan pengetua/guru besar sekolah dan meminta kerjasama ibu bapa,” jelasnya.

Mengenai dialog bersama Dr Teo semalam, Adam memberitahu bahawa pejabat khidmat wakil rakyat Dr Teo merupakan antara saluran untuk mengadu masalah berkaitan perkhidmatan MBM.

Penduduk juga boleh membuat aduan kepada ahli majlis (kaunselor), Jawatankuasa Penduduk (RC) atau menghubungi talian TaliKhidmat dan hotline MBM.

“YB memberitahu pejabat beliau menerima banyak aduan berkaitan MBM.

“Oleh itu kami akan bekerjasama dengan pejabat YB untuk menyelesaikan masalah-masalah ini,’ jelasnya.

Antaranya parit kotor, rumput panjang dan bangkai haiwan yang tidak dibersihkan.

Dr Teo berkata, pejabat PKR Miri akan bekerjasama dengan MBM termasuk merujuk masalah yang dikemukakan kepada MBM untuk tindakan dan penyelesaian bersama.

|