Last Update: 18 Jul 2018
Version 8.0.4b
Kerajaan negeri sumbang dana untuk projek dewan bandar raya di Miri
Posted on : 09 Jul 2018  Source of News: Utusan Sarawak
 
 Abang Johari meletakkan tapak tangan pada tab sebagai simbolik perasmian Ulang Tahun Ke-13 Bandar Raya Miri pada malam kelmarin. RASMI: Abang Johari meletakkan tapak tangan pada tab sebagai simbolik perasmian Ulang Tahun Ke-13 Bandar Raya Miri pada malam kelmarin.

MIRI: Kerajaan Sarawak menyumbang dana pembinaan bangunan Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi mengukuhkan imej Miri sebagai bandar raya sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Berita baik itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Majlis Makan Malam Sambutan Hari Bandar Raya Miri Ke-13 di sini malam kelmarin.

Abang Johari berharap projek pembinaan mercu tanda baharu itu dapat direalisasikan dalam tempoh dua tahun.

“Bagi meraikan 13 tahun sebagai bandar raya, saya berharap penduduk di sini memiliki bangunan majlis bandar raya apabila meraikan sambutan ke-15 nanti.

“Malam ini kita beri dana membina bangunan majlis bandar raya. Inilah sumbangan saya kepada Miri,” katanya.

Abang Johari berkata, bangunan itu mewakili dan menggambarkan Miri sebagai sebuah bandar raya dengan tawaran perkhidmatan terbaik.

Selain itu, Kerajaan Sarawak juga menyumbang dana membina mercu tanda nama MIRI di atas Bukit Kanada.

Tanda nama itu akan diletak di situ memandangkan keseluruhan bandar raya Miri kelihatan dari atas bukit.

“Anda pasti memerlukan dana untuk infrastruktur. Kita juga akan bantu sediakan, khasnya untuk pelancongan,” tambahnya.

Abang Johari berterima kasih kepada sumbangan besar bekas Ketua Menteri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan mentransformasikan Miri daripada sebuah pekan kecil kepada sebuah bandar raya peranginan.

Pembangunan Miri Central Park di Marina Bay antara kemajuan yang harus dibanggakan penduduk Miri.

Pemikiran kreatif mengubah muara Sungai Miri sebagai taman marina dan komersil memberi wajah baharu kepada kawasan tersebut.

“Kawasan ini cantik pada waktu malam dan siang dipenuhi kehijauan. Jika dibandingkan dengan Marina di Singapura, saya rasa Marina di sini lebih baik kerana ada kehijauan,” jelasnya.

Beliau berkata, pembangunan Miri dirancang dengan baik untuk menjadikannya mesra alam dan mesra pelancong.

Miri memiliki taman rizab semula jadi dalam pusat bandar raya untuk menyokong usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Kedudukan Miri di tengah antara pantai dan dataran tanah tinggi tarikan semula jadi menarik pelancong luar negara mengunjungi Gua Niah, Gua Mulu, kawasan dataran tanah tinggi dan hutan hujan di sini.

Sehubungan itu, Abang Johari mahu pakej pelancongan Miri diperhebatkan secara digital serta mempraktikkan sistem pembayaran digital menerusi Sarawak Pay kepada pelancong.

“Untuk menjadikan Miri bandar raya ‘liveable’ kita harus menitikberatkan aspek kebersihan dan kreatif mempromosikan Miri secara digital. Dengan pendekatan IT pasti Miri menjadi tarikan pelancong,” jelasnya.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

|