Last Update: 28 May 2018
Version 8.0.4b
Kedutaan Itali mahu tarik pelabur bangun pelancongan Miri
Posted on : 15 May 2018  Source of News: Utusan Borneo
 
 Adam menunjukkan kepada Christiano (dua kanan) kandungan buku Miri sebagai hadiah cenderamata sempena lawatan duta itu ke MBM semalam.  TENTANG MIRI: Adam menunjukkan kepada Christiano (dua kanan) kandungan buku Miri sebagai hadiah cenderamata sempena lawatan duta itu ke MBM semalam.

MIRI: Kedutaan Itali di Malaysia ingin menarik lebih ramai pelabur dari negara itu datang ke sini untuk melihat sendiri potensi pelancongan Miri dan memba-ngunkan sektor tersebut.

Dutanya Christiano Maggi-pinto berkata, cadangan itu antara cara untuk meningkatkan industri pelancongan kedua-dua belah pihak dan memperkenalkan tarikan Miri kepada pelancong Itali.

“Kami amat berminat me-ningkatkan sektor pelancongan. Kami akan melihat kemungkinan pelabur-pelabur Itali datang ke Miri dan melabur dalam sektor pelancongan. Ini kerana kami berpengalaman dalam bidang ini,” jelas beliau.

Christiano ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Miri Adam Yii di Majlis Bandaraya Miri (MBM) pagi semalam.

Beliau yang pertama kali ke Sarawak, datang ke sini ditemani isterinya Tamara Hardikar Maggipinto untuk menyaksikan Borneo Jazz Festival di Coco Cabana yang telah diadakan Jumaat hingga Ahad.

Untuk mengukuhkan kerja-sama ekonomi Itali dan Malaysia, kedutaan dan Suruhanjaya Perdagangan Itali berminat menganjurkan misi membawa ahli perniagaan ke Malaysia.

Christiano berkata, rangka lawatan akan melibatkan kunjungan ke Sarawak yang diharap akan mewujudkan kerjasama ekonomi antara Itali dan Sarawak.

“Ini merupakan kunjungan pertama saya ke Sarawak. Saya pasti akan datang lagi ke sini untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan melawat Taman Negara Mulu,” jelasnya.

Datuk Bandar Adam Yii berkata, cadangan membawa ramai pelabur ke Miri penting untuk merancakkan pembangunan sektor ekonomi yang ketika ini masih bergantung kepada industri minyak dan gas.

Beliau juga berharap kerjasama erat antara Itali dan Miri dalam industri pelancongan akan meningkatkan kunjungan pelancong Itali ke sini.

“Kita amat mengalu-alukan cadangan ini dan berterima kasih kepada pihak Kedutaan Itali kerana sudi datang ke Miri,” jelas Adam.

|