Last Update: 19 Dec 2018
Version 8.0.4b
MBM dalam proses tingkat peranan JKP
Posted on : 20 Mar 2018  Source of News: Utusan Borneo
 
 Yii (duduk tengah) bersama kaunselor dan ahli JKP Zon Pujut mengalu-alukan orang awam bagi menjayakan program pendaftaran JKP Zon Piasay pada hari ini. SERTAI KAMI: Yii (duduk tengah) bersama kaunselor dan ahli JKP Zon Pujut mengalu-alukan orang awam bagi menjayakan program pendaftaran JKP Zon Piasay pada hari ini.

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) sedang dalam proses meningkatkan peranan Jawatankuasa Penduduk (JKP) untuk memastikan keselamatan di kawasan kediaman terjamin dan bebas daripada jenayah.

Datuk Bandar MBM Adam Yii berkata, kejayaan JKP Zon Pujut dalam memupuk semangat kejiranan melalui kumpulan WhatsApp mendorong MBM mengambil pendekatan serta konsep sama untuk masyarakat di zon lain.

Terdapat 15 zon di Miri termasuk satu di Bario. Kejayaan JKP Zon Pujut menjadi model untuk MBM memperluaskan konsep serupa kepada zon lain,” ujarnya pada sidang media mengenai pendaftaran ahli JKP di sini semalam.

Jelas Yii, MBM yakin dengan membina komunikasi yang baik dengan masyarakat setempat, mereka akan lebih memahami keperluan dan mendapat maklum balas daripada masyarakat bagi meningkatkan perkhidmatan MBM.

Pendaftaran ahli baharu JKP Zon Piasau akan diadakan pada hari ini di Pasar Malam Saberkas mulai jam 11 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, walaupun acara berkenaan digalakkan untuk penduduk sekitar kawasan Piasau, namun penduduk di kawasan lain juga dialu-alukan untuk mendaftar pada pendaftaran terbabit kelak.

Pendaftaran ahli baharu kelak akan diserahkan kepada zon Piasau yang berkaitan untuk tindkan selanjutnya,” ujarnya.

Menurut Yii, dengan mendaftar sebagai ahli JKP, ahli terbabit berhak dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp mengikut zon bagi memudahkan mereka menyuarakan pendapat atau melaporkan isu-isu berkaitan di kawasan masing-masing terumatanya isu di bawah kuasa MBM.

Setiap zon mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri yang merangkumi kaunselor MBM, kontraktor MBM, pihak berkuasa polis, sukarelawan rondaan serta agensi lain.

Antara objektif untuk kumpulan WhatsApp ini adalah untuk memastikan semua isu yang berkaitan di bawah MBM termasuk keselamatan di setiap kawasan kediaman untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Selain WhatsApp, WeChat dan Facebook juga menjadi medan masyarakat setempat untuk berkongsi maklumat dan cadangan bagi membantu dalam perkhidmatan JKP dan MBM.

Yii mengalu-alukan dan menggalakkan orang awam bagi bersama mendaftarkan diri untuk menyertai JKP Zon Piasau dalam terus membantu menjadikan Miri sebagai tempat selamat didiami.

Hadir sama ialah kaunselor-kaunselor MBM serta ahli-ahli Zon JKP Pujut.

|