Last Update: 18 Jul 2018
Version 8.0.4b
MBM mahu hidupkan semula Pasar Malam Miri
Posted on : 20 Mar 2018  Source of News: Utusan Borneo
 
 Lokasi yang ditandakan disasar menjadi tapak Pasar Malam Miri kelak. TARIK KUNJUNGAN: Lokasi yang ditandakan disasar menjadi tapak Pasar Malam Miri kelak.

MAJLIS Bandaraya Miri (MBM) mahu menghidupkan semula Pasar Malam Miri di sepanjang Jalan Brooke, di Miri.

Datuk Bandar Miri Adam Yii memberitahu, lokasi itu sama dengan pasar malam yang pernah dibuka beberapa tahun lalu, namun ditutup kerana tiada sambutan.

Itu sebelum kawasan Marina Parkcity dibuka, kini kawasan tersebut sudah beroperasi dan ‘hidup’, ditambah dengan beberapa jalan baharu yang akan bersambung ke kawasan Miri High Street ini, maka kita yakin situasinya lebih ‘hidup’ berbanding beberapa tahun lalu,” katanya.

Adam berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke kawasan Jalan Brooke, di Miri Rabu yang turut terdapat pasar basah iaitu Pasar Central dan Pasar Perpaduan Miri, serta meninjau keadaan tandas awam di situ.

Sekarang kita sedang dalam usaha mempromosikan kawasan ini untuk pasar malam dan membuka lot untuk peniaga yang berminat.

Sebanyak 70 lot akan dibuka untuk mereka yang berminat dan jika sambutan menggalakkan maka kita akan membuka lot tambahan kelak,” katanya.

Menurut Adam, selain dibuka untuk jualan makanan halal dan tidak halal, penjualan buah-buahan, sayur, cenderamata serta kraf tangan dan pelbagai barangan lain, pihak MBM turut membuka lot untuk trak makanan beroperasi serta lot untuk jualan lambak dan barangan terpakai.

Pasar malam ini yang terletak di pusat bandar Miri, akan menjadi salah satu tarikan dan produk pelancongan di Miri kelak dan kita mulai mengindahkan kawasan ini dengan menyediakan lebih banyak tempat parkir kereta, kemudahan tandas awam, lampu-lampu jalan yang lebih cantik, pusat pengumpulan sampah bagi memastikan kawasan ini bersih serta laluan pejalan kaki yang lebih selesa serta beberapa kemudahan lain,” tambahnya.

 Adam mendengar dengan teliti perkara yang dibangkitkan salah seorang peniaga di Pasar Perpaduan Miri, kelmarin. Turut kelihatan Kueh (kiri). PRIHATIN: Adam mendengar dengan teliti perkara yang dibangkitkan salah seorang peniaga di Pasar Perpaduan Miri, kelmarin. Turut kelihatan Kueh (kiri).

Menurut Adam, orang ramai yang berminat untuk memohon menjadi peniaga pasar malam ini boleh mendapatkan borang pendaftaran dari kaunter Jabatan Kesihatan Awam di bangunan MBM di Jalan Kingsway.

Mengenai lawatan beliau di sekitar Jalan Brooke, Adam berkata ia bertujuan meninjau keadaan di Pasar Central dan Pasar Perpaduan bagi mengenal pasti kekurangan dan kerosakan yang perlu diperbaiki.

Selain itu, tinjauan ke tandas awam turut dilakukan bagi memastikan pihak kontraktor yang diamanahkan, menjalankan tanggungjawab menjaga kemudahan tersebut agar sentiasa berfungsi dengan baik serta bersih.    

Turut sama mengiringi Adam ialah Pengerusi Jawatankuasa Peniaga dan Penjaja Pasar MBM Kaunselor Kueh Chie Tiong dan ahli-ahli majlis yang lain.

|