Last Update: 21 Feb 2018
Version 8.0.3
Pembersihan besar-besaran di bandar raya Miri
Posted on : 01 Feb 2018  Source of News: Utusan Borneo
 

MBM mulakan ‘musim pembersihan’ selama 20 hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan memulakan ‘musim pembersihan’ selama 20 hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) ini bagi membantu penduduk di sekitar bandar raya ini melakukan pembersihan sekitar kediaman mereka serta membuang barang dan sampah domestik.

Datuk Bandar MBM Adam Yii memberitahu, ‘musim pembersihan’ bermula pada 25 Januari lalu hingga 13 Februari ini membabitkan lapan zon.

Sepanjang musim pembersihan ini, MBM menempatkan tong sampah bersaiz besar di 35 lokasi yang sudah ditetapkan bagi memudahkan isi rumah membuang sampah terutama sampah pepejal.

Ini kerana setiap kali musim perayaan terutama Tahun Baharu Cina, akan ada pembersihan besar-besaran yang membabitkan kediaman, pejabat, premis dan sebagainya.

Jadi dengan menempatkan tong-tong sampah besar mudah alih ini, ia akan memudahkan kerja-kerja pembuangan sampah oleh isi rumah,” tambahnya.

Menurut Adam, MBM juga akan menempatkan 46 tong sampah besar mudah alih (RORO) di semua lapan zon yang membabitkan 35 lokasi itu.

Beliau memberitahu, bagi Zon 1 Taman Tunku, enam tong sampah diletakkan di tiga lokasi iaitu di Jalan Kuching Timur dan Taman Jelita, dua di Jalan Sibu dan satu di Jalan Lawas/Jalan Tuanku Abdul Rahman. 

Zon 2 membabitkan Jalan Luak/Bakam dengan lima tong sampah ditempatkan di tiga lokasi iaitu iaitu di Jalan Luak serta bangunan kedai, Pantai Luak Esplanade dan Jalan Acorus. 

Zon 3 meliputi kawasan Jalan Riam/Jalan Miri-Bintulu dengan lima tong sampah ditempatkan masing-masing di lima lokasi iaitu Jalan Cahaya; bangunan rumah kedai Taman Hilltop, Jalan Utama; Jalan Luak Bay dan bangunan rumah kedai Taman Pin Fook.

Zon 4 pula kawasan Krokop/Jee Foh dan Piasau Jaya dengan sembilan tong sampah ditempatkan di sembilan lokasi iaitu belakang Wisma Yee Loke; Jalan Cosmos, Pasar Krokop 5, rumah kedai Jee Foh 6, Jalan Chong Fah di hadapan bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN);  hadapan Kolej Prime, Jalan Taman Piasau 2 dan Jalan Piasau 3.

Zon 5 Pujut menyaksikan sembilan tong sampah RORO diletakkan di empat lokasi iaitu di Pasar Pujut Corner; Pujut 4B, Jalan Pujut 8 dan Piasau Utara (enam tong).

Zon 6 Tudan pula dua tong diletakkan di dua lokasi masing-masing di hadapan Gereja Roman Katolik (Fasa 2 dan 2A) dan Tadika Perpaduan (Tudan Fasa 1/3/4/5).

Zon 7 ialah kawasan Permyjaya yang menyaksikan tiga tong sampah besar diletakkan di Jalan Desa Senadin (lokasi sedia ada), rumah kedai Desa Indah 3 dan rumah kedai Desa Indah 2.

Zon 8 ialah kawasan Lutong dengan empat tong sampah besar diletakkan di dua lokasi iaitu dua di Kampung Api dan dua lagi di Jalan Pointsettia serta Jalan Poly.

Dengan penyediaan RORO, Adam berharap penduduk di Miri dapat memanfaatkannya dengan membuang sampah terutama jenis besar di tempat yang betul, sehingga tarikh akhirnya 13 Februari kelak. 

Sehubungan itu saya meminta kerjasama orang ramai untuk tidak membuang dan melonggokkan sampah merata-rata,” katanya, sambil menambah kata, ia akan mengotorkan sekitar bandar raya serta mengundang banyak haiwan terbiar dan pembawa penyakit seperti tikus di kawasan tersebut.

|