Last Update: 24 Sep 2018
Version 8.0.4b
Penduduk Miri diseru jaga kebersihan sempena TMM 2018
Posted on : 02 Jan 2018  Source of News: Utusan Borneo
 

MIRI: Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin menggesa penduduk Miri bekerjasama menjaga kebersihan dan keindahan di sekitar bandar raya ini khususnya kawasan pantai sempena kempen pelancongan dan Tahun Melawat Miri (TMM) 2018.

Kita mahu menyambut kedatangan ribuan pelancong tempatan dan asing ke Miri mulai hari ini dan kita perlu bersedia dengan memastikan bandar raya kita kekal bersih dan indah di mata pelancong.

Justeru usaha memastikan kebersihan di Miri adalah perkara pertama yang perlu dilakukan oleh setiap warga Miri,” katanya semasa berucap merasmikan Kempen Membersihkan Pantai Marina di Marina Central Park di sini, semalam.

Menurut Lee, sampah yang dibuang merata-rata bukan sahaja mengotorkan wajah bandar raya Miri tetapi turut mencemari kawasan pantainya, selain merosakkan ekosistem serta boleh menyebabkan pelancong kecewa dan ‘melarikan diri’ kerana kekotoran berkenaan.

Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang daripada kita untuk menjaga dan memastikan kebersihan Miri. keindahan landskap serta panoramanya,” jelas Lee.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli Pertubuhan Buddha Tzu Chi Taiwan Cawangan Miri (Tzu Chi Miri), Persatuan Penjual-Penjual Barangan Terpakai dan Kitar Semula dan Kelab Lion Miri Mandarin terlibat dalam kempen berkenaan di sini, semalam.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Tzu Chi Miri Dennis Yee mengakui, sekali pandang sahaja, boleh dilihat dengan jelas pemandangan pantai Marina yang kotor dengan timbunan sampah yang dihanyutkan ombak dari kuala Sungai Miri.

Jika penduduk mahu pantai berkenaan benar-benar bersih, maka langkah pembersihan setiap minggu amat penting bagi mengurangkan timbunan sampah.

Saya dimaklumkan bahawa pantai ini sudah dibersihkan oleh sebuah pertubuhan pada minggu lepas dan amat mengejutkan apabila pada minggu ini, sampah yang banyak ‘kembali’ lagi ke pantai ini,” katanya.

Ini kerana semua sampah ini dibawa ombak dari laut dan dari kuala-kuala sungai berhampiran, justeru inilah masa untuk kita menggandakan usaha menangani situasi ini,” katanya.

Sementara itu, kempen pembersihan pantai berkenaan salah satu acara kebajikan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan Tzu Chi setelah kempen serupa pada Oktober.

Turut hadir pada pelancaran kempen itu semalam Datuk Bandar Miri Adam Yii serta pengerusi Kelab Lion Miri Mandarin Zon 9 Jee Kee Hiong.

|