Last Update: 22 Jul 2017
Version 8.0.2
Banyak transfomasi MBM sejak jadi bandar raya
Posted on : 24 May 2017  Source of News: Utusan Borneo
 

Kejayaan sepanjang 12 tahun hasil usaha gigih warga majlis ke arah misi dan visi ditetapkan : Adam

 MIRI: Sejak diisytihar status sebagai bandar raya pada 20 Mei 2005, Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengalami pelbagai proses transformasi pihak majlis sepanjang tempoh 12 tahun ini.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii berkata transformasi ini hasil usaha gigih dan hubungan baik antara satu sama lain di MBM.

"Kewujudan kerjasama dan keharmonian antara ahli majlis, ketua jabatan dan warga MBM, kita dapat menuju ke arah misi dan visi yang ditetapkan.

"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga MBM atas dedikasi dan sumbangan selama ini sehingga semua menerima pelbagai anugerah dan penghargaan daripada dalam dan luar negara," ujarnya perasmian Majlis Mengibar Bendera sempena Perayaan Ulang Tahun Bandaraya Miri yang ke-12, di perkarangan pejabat MBM di sini, pagi semalam.

Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Miri, Julaihi Mohamad, Setiausaha MBM, Morshidi Fredrick, para Kaunselor dan kakitangan MBM.

Selain itu, Adam turut menggesa warga MBM untuk mengingati jasa Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam atas usaha beliau mengubah Miri dari bandar kecil ke sebuah bandar raya seperti sekarang.

"George Chan layak digelar sebagai 'Architect of Modern Miri' di atas segala usaha pembangunan beliau sebelum ini," katanya.

Adam berkata beliau bersyukur kerana mempunyai kumpulan kaunselor begitu komited dan berdedikasi melaksana tugas.

"Ini dapat dilihat menerusi kesediaan menghadiri mesyuarat dan pelbagai acara MBM termasuk kesudian membantu komuniti dalam beberapa program dikelola oleh Jawatankuasa Residen dan Local Agenda 21 serta Jawatankuasa Pembangunan Komuniti.

Program tersebut dalam bidang kuasa jawatankuasa majlis bertujuan menyediakan program 'outreach' efektif kepada komuniti tempatan," katanya.

Disamping itu, Adam berharap agar warga MBM sentiasa menanam minat yang mendalam dalam pekerjaan mereka kerana ia resipi terbaik menghasilkan kejayaan yang cemerlang.

Kita semua pasti menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan dan kita perlukan cara terbaik bagi mengatasinya kelak.

"Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), MBM mengalu-alukan cadangan membina daripada orang awam demi pembangunan bandar raya ini," katanya.

|