Last Update: 22 Jul 2017
Version 8.0.2
MBM promosi TMM 2018 sempena Hari Bandaraya Miri
Posted on : 19 May 2017  Source of News: Utusan Sarawak
 

MIRI : Majlis Bandaraya Miri (MBM) menjadikan sambutan Hari Bandaraya pada 20 Mei ini untuk mempromosikan Tahun Melawat Miri (TMM) 2018.

Timbalan Datuk Bandar MBM Julaihi Mohamad berkata seiring dengan tema TMM 'Miri Uniquely Borneo' keunikan budaya daripada kepelbagaian etnik di Miri difokuskan dalam persembahan pentas.

Antaranya persembahan kaum Jatti Meirek, Melayu, Dayak, Cina, Orang Ulu dan kaum-kaum lain.

"Ini kerana kita mahu tampilkan kepelbagaian kaum dan budaya di Miri," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa sambutan Hari Bandaraya Miri ke-12 di sini kelmarin.

Pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan orkestra daripada SM Pei Min serta nyanyian artis tempatan.

Dataran Kipas Miri tetap dijadikan lokasi utama sambutan setiap tahun yang diadakan bermula jam 6 petang hingga 11 malam.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan hadir mewakili Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg merasmikan majlis itu.

Berbeza tahun lalu, MBM tidak menganjurkan 'count down' sambutan Hari Bandaraya pada 19 Mei.

Pada 20 Mei, MBM menutup Jalan Kipas berhampiran bulatan bermula jam 6 petang hingga tamat program.

Pada sebelah paginya, seramai 500 terdiri daripada kakitangan MBM dan ahli majlis berhimpun untuk majlis mengibarkan bendera di MBM bermula jam 9 pagi.

|