Last Update: 25 Jul 2017
Version 8.0.2
Pesta Nukenen kembali lagi bermula 26 hingga 29 Julai
Posted on : 27 Jan 2017  Source of News: Utusan Borneo Online
 

 MIRI:  Pesta Nukenen kembali lagi diadakan di tanah tinggi Bario kali ke-12 tahun ini pada 26 hingga 29 Julai diselit pelbagai aktiviti kebudayaan serta juadah tradisi masyarakat Kelabit.

Presiden Rurum Kelabit Sarawak (RKS) Dr Philip Raja berkata, bagi penganjuran kali ini pihaknya mengharapkan kerjasama masyarakat setempat khususnya daripada pihak berkaitan bagi membantu menjadikan acara terbabit satu kejayaan besar dan lebih ramai mendapat manfaat melaluinya.

Sejak diadakan 2006, pesta ini berjaya menarik 6,000 pengunjung untuk bersama memeriahkan acara kebudayaan dan menikmati juadah Kelabit.

Justeru, jumlah pengunjung datang akan sentiasa meningkat dan sudah pasti kemudahan jalan serta pengangkutan udara perlu dinaik taraf serta dipertingkat dalam usaha mengalak lebih ramai pengnjung hadir kelak,” jelasnya.

Menurut Dr Philip, pihaknya berharap syarikat penerbangan bagi kawasan luar bandar boleh meningkatkan kekerapan penerbangan ke Bario.

Seperti diminta jawatankuasa tahun lalu, kita turut sekali lagi meminta agar kekerapan penerbangan ditambah iaitu 16 penerbangan.

Bagaimanapun, hanya lapan penerbangan diberikan pada tahun lalu dan ia menjadi antara penyebab segelintir pengunjung tidak dapat atau sempat menghadiri pesta berkenaan memandangkan penerbangan terhad,” katanya.

Dr Philip berkata demikian ketika mengetuai jawatankuasa Pesta Nukenen Bario dalam sesi kunjungan hormat ke Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii, di sini petang kelmarin.

Justeru, Naib Presiden RKS Dr Roland Mattu turut menekankan keperluan segera pihak berkaitan bagi menangani masalah jalan yang licin ke kawasan Bario terutamanya pada musim hujan.

Pesta ini bukan sahaja mempromosikan budaya, makanan dan tradisi rakyat, tetapi ia menjadi antara tarikan pelancongan bagi melihat keindahan yang ada di Bario.

Justeru, faktor kemudahan jalan baik turut perlu diutamakan,” ujarnya.

Pengerusi penganjur Lilla Raja berkata, pihaknya kali ini lebih bersedia berbanding sebelumnya dalam penganjuran Pesta Nukenen.

Bagi penginapan sahaja, kami telah menyediakan sejumlah 43 penginapan homestay di rumah panjang Bario bagi menampung sekitar 2,000 pengunjung dan pelancong kelak,” katanya.

Sementara itu, Adam Yii memberi jaminan bahawa MBM sentiasa membantu dan menyokong setiap acara yang dianjurkan adalah berjaya dilaksanakan termasuk Pesta Nukenen.

Kata Yii, antara sokongan diberi ialah mempromosi Pesta Nukenen Bario menerusi Miri May Fest sepanjang bulan Mei, selain mengadakan pameran sempena pesta berkenaan di Miri.

Bario kini merupakan sebuah daerah kecil diletak di bawah bidang kuasa MBM, dan oleh itu sudahpasti MBM akan membantu mempromosikan pesta berkenaan.

Antara lain sokongan ialah membantu dari segi kebersihan dengan melupuskan sampah dijangka terdapat dalam jumlah besar daripada pesta itu nanti,” tambahnya.

|